HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) semalam menguruskan 38 lagi jenazah pesakit Covid-19 yang membabitkan jenazah beragama Islam dan bukan Islam.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi menerusi hantaran di laman Facebook, berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bagi urusan pengebumian 12 jenazah beragama Islam.
“Alhamdulillah, pasukan kami menerima satu lagi bantuan iaitu APM bagi memantapkan urusan Ops Bersepadu hari ini, selain kolaborasi bersama JAIS.
‘Kerjasama ini adalah penting dalam usaha menyelesaikan fardu kifayah bagi jenazah Covid-19 di HTAR supaya ia berjalan lancar.
“Sejumlah 10 jenazah selamat diuruskan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang manakala dua jenazah lagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam,” katanya dalam hantaran itu.
Dr Zulkarnain berkata, jumlah pengurusan jenazah Covid-19 secara keseluruhan sebanyak 38 kes yang dapat diselesaikan semalam.
Katanya, selain yang dikebumikan menerusi Ops Bersepadu, baki jenazah berkenaan diuruskan oleh waris sendiri iaitu dalam kalangan bukan Islam dan beragama Islam.
“Ini kerana ada dalam kalangan mereka mahu menyemadikan jenazah di tempat lain yang berdekatan dengan kawasan mereka,” katanya. – Malaysiapost

