Gas bocor dalam ambulans punca petugas kesihatan maut, 3 pengsan

0
2

KEBOCORAN gas karbon monoksida dipercayai punca empat petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok di Port Dickson, Negeri Sembilan, tidak sedarkan diri sebaik ambulans dinaiki mereka sampai di Hospital Port Dickson pagi tadi.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, ujian pengesanan gas dalam tempoh 10 minit perjalanan mendapati, bacaan kandungan gas karbon monoksida yang tinggi dicatatkan dalam kabin ambulans berkenaan sehingga mencecah 87 ppm.

“Bacaan diambil dalam tempoh 10 minit perjalanan sahaja dan kadar bacaan berkenaan berkemungkinan bertambah mengikut tempoh masa perjalanan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok ke Hospital Port Dickson.

“Pihak hospital juga mengesahkan telah menjumpai gas yang sama dalam paru-paru mangsa yang pengsan yang kini kesemuanya telah dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, media melaporkan seorang petugas kesihatan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok meninggal dunia, manakala tiga lagi didapati pengsan di dalam ambulans yang tiba di Hospital Port Dickson.

Mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki berusia 29 tahun manakala tiga lagi lelaki yang tidak sedarkan diri berusia dalam lingkungan 30-an. – Malaysiapost

Foto Kredit: Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here