PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew mengakui bukan dirinya sahaja menjadi kecaman tetapi pasukannya juga, susulan isu yang dibangkitkan beberapa individu termasuk oleh penyanyi rap, Caprice berhubung misinya ke Gaza baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menerima perkara itu sebagai kelemahan dirinya kerana dalam kerja berkumpulan yang menentukan kejayaan atau kegagalan adalah ketuanya.
“Kalau tidak berjaya itu saya, ia bukan pasukan saya yang gagal tetapi saya…yang buruk itu semua dari saya.
“Tetapi tuduhan-tuduhan banyak kepada pasukan saya..sebab orang tak berani sangat nak hentam saya jadi orang mula salahkan pasukan saya.
“Tapi sudah tentu apa yang terjadi dalam pengetahuan saya,” katanya menjawab soalan sama ada beliau akan menukar pasukan termasuk penolong peribadinya yang didakwa menjadi punca utama kecaman netizen.
Beliau berkata, pasukannya terdapat pelbagai golongan, termasuk golongan orang intelek, golongan yang berjaya, ahli perniagaan, ustaz dan paling ramai sekali adalah sukarelawan.
“Pasukan saya ini macam mesin basuh…semua orang kita ambil..semua kain masuk ada yang kotor ada yang bersih dan mudah-mudahan yang keluar nanti adalah yang baik.
“Orang nampak saya macam baik..tapi mungkin saya tidak baik..kalau orang kata jangan taksub dengan saya betul tu..jangan pernah taksub dengan saya.Saya banyak dosa, banyak aib…cuma mungkin Allah tutup aib,” katanya.
Menurutnya, pasukannya juga membabitkan golongan yang dari ‘bawah jambatan’, ada dari anak orang susah, ada yang jaga kelab malam dan ada juga golongan transgender.
“Ini yang anda mungkin nampak, tetapi sebenarnya ramai lagi yang anda semua tidak nampak yang menjadi sukarelawan pasukan saya dan bukan tugas saya untuk menilai sesiapa.
“Bukan setakat tegur, ‘belasah’ pun ada sebab macam-macam orang, tetapi kami dah macam sebuah keluarga senang sama senang, susah sama susah.
“Jadi mana kita boleh perbaiki, kita perbaiki dan nasihat serta bantu,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Ebit Lew

