LDP berkhidmat untuk semua rakyat Sabah, tak perlu bimbang

0
4

PENGUNDI Bumiputera tidak perlu bimbang terhadap langkah Parti Liberal Demokratik (LDP) meluaskan kawasan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Itu antara ulasan bakal calon LDP di Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani, ketika ditanya sebab beliau menerima tawaran parti itu untuk menjadi calon di kerusi berkenaan.

Beliau antara calon Bumiputera Islam yang pertama kali diketengahkan LDP dalam cubaannya untuk menumpaskan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya.

“Ini masanya untuk Bumiputera berganding bahu bersama kaum bukan Bumiputera bagi menumpaskan kerajaan sedia ada.

“LDP mampu bangkit menjadi sebuah parti besar dan kuat selepas sekian lama ditekan Barisan Nasional (BN) yang hanya agih tiga atau empat kerusi Cina kepada parti itu sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, amalan BN itu menyebabkan LDP dilihat sebagai parti berasaskan Cina sedangkan penubuhannya kira-kira 31 tahun lalu adalah berasaskan parti pelbagai kaum yang berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah.

Katanya, selepas keluar BN pada 2018, parti itu membuat keputusan mengembalikan konsep asalnya dan meluaskan kawasan bertanding termasuk di kerusi majoriti Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut (KDM).

“Seperti semua maklum, saya bakal calon LDP di N30 Bongawan. Saya memilih LDP kerana ia bukanlah parti Cina seperti kita anggap sebelum ini.

“Cuma ia tidak berpeluang melebarkan bahagian atau bertanding di kerusi KDM kerana di kawasan itu ada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

“Begitu juga di kawasan Bumiputera Islam yang mana Umno bertanding di sana. Maka LDP tidak dapat melebar sayap ke kawasan KDM dan Bumiputera Islam,” katanya.

Semalam, Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin, memaklumkan parti itu akan bertanding lebih 40 kerusi termasuk kawasan majoriti Bumiputera Islam dan KDM, selain kerusi tradisi majoriti pengundi Cina sejajar konsep sebenarnya yang berbilang kaum.

Mohd Azree, 29, adalah antara perintis Bumiputera Islam dipertaruhkan LDP bagi merebut kerusi majoriti pengundi Bumiputera di Bongawan bersama beberapa lagi calon di tempat lain.

Anak jati Bongawan itu berkata, LDP memiliki kepemimpinan yang baik terutama di bawah bekas Ketua Menteri yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup parti itu, Tan Sri Chong Kah Kiat.

“Saya juga memilih bertanding atas tiket LDP kerana kali ini ia menampilkan Presiden Kehormat Seumur Hidup, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai ketua dalam misi ‘now or never’ ini.

“Ini misi menyelamatkan Sabah, misi sukar tetapi bukan mustahil kerana misi dibawa LDP akan memberi manfaat dan masa depan yang jelas kepada Sabah,” katanya. – Malaysiapost