
KERAJAAN hari ini bersetuju untuk melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa 1 dan Fasa 2.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perubahan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi negara.
Antara perubahan yang dilaksana adalah seperti berikut :
Fasa 1:
• Bagi meningkatkan produktiviti, kehadiran di pejabat untuk sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
• Perkhidmatan perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.
• Operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari jam 6 pagi hingga jam 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota RELA atau PBT. Waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari jam 7 pagi hingga jam 2 petang.
• Aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal dua hingga tiga meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja.
• Pelabuhan, lapangan terbang dan sektor logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 Jam.
• Pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian. Ini bagi memenuhi keperluan kepada projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta Persekutuan.
Fasa 2:
• Penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat.
• Waktu operasi premis perniagaan dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam termasuk specialty stores (stesen minyak). – Malaysiapost
