
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga semalam data dikeluarkan Hospital Sungai Buloh menunjukkan penurunan ketara kemasukan kes jangkitan serius (kategori 4 dan 5) dalam kalangan warga emas bermula pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-23.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend penurunan itu didapati selaras dengan permulaan Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan awal April lalu dan mula menunjukkan tanda awal keberkesanannya sejak ME ke-22.
Menurutnya, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan janji temu vaksin boleh hadir secara ‘walk-in’ di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur.
“KKM juga ingin memaklumkan bahawa bermula dari 17 Julai lalu, semua warga emas (iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas) yang masih belum mendapatkan janji temu, agar hadir secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, bagi mendapatkan suntikan vaksin pada hari yang sama.
“Selain itu, PPV juga akan terus beroperasi pada setiap hujung minggu termasuk cuti umum. Tindakan-tindakan ini selaras dengan komitmen KKM dalam membina imuniti kelompok dalam kadar yang segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, rakyat dinasihatkan untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan serta sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses pengambilan vaksin di PPV. – Malaysiapost
