Petugas terlibat beri vaksin kosong akan dikenakan tindakan tegas – CITF

0
1
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

BADAN Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini memaklumkan tidak akan teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya wujud aktiviti suntikan vaksin kosong seperti yang tular, baru-baru ini.

CITF dalam kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas petugas terbabit mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan perkara tersebut.

Menurut CITF, pihaknya memandang berat mengenai beberapa dakwaan suntikan vaksin Covid-19 di PPV yang tular di laman media sosial ketika ini.

“Seperti mana prosedur operasi standard (SOP), setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

“Orang ramai disarankan melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

CITF berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan siasatan mengenai perkara ini supaya kejadian sama tidak berulang lagi.

Kenyataan itu juga mengesahkan tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah selepas didapati terbabit dengan aktiviti berkenaan.

Katanya, kes itu dikesan pada 17 Julai lalu di PPV pandu lalu berkenaan yang mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.

“Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas dari Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.

“Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM dan tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, CITF menjelaskan terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong masing-masing di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 17 Julai lalu dan di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pada 18 Julai lalu.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat bagi menyiasat dakwaan itu dan sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan kemudian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here