YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita kerana buat kali kedua umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan Aidiladha seperti kelaziman akibat pandemik Covid-19.
Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berharap umat Islam di negara ini terus cekal dan bersabar serta bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan serta kekuatan menyambut Aidiladha dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik Covid-19.
“Malah, Seri Paduka Baginda berdua menyeru seluruh umat Islam di negara ini dalam meraikan hari yang bermakna tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kerajaan,” menurut kenyataan Istana Negara, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas pengorbanan petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.
“Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit Covid-19 dan dalam usaha-usaha memerangi pandemik ini sejak tahun lalu.
“Justeru, baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru umat Islam di negara ini untuk bersama baginda berdua mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di luar negara. – Malaysiapost

