Isteri temui ajal selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital

0
1

Najamuddin Mohd Nor

LULUH perasaan seorang suami apabila menerima berita isteri yang dicintai pergi menemui ilahi kerana Covid-19.

Bagaikan mimpi, namun suami yang mahu dikenali sebagai Wan, 31, redha dengan ketentuan takdir yang menimpa dirinya sekeluarga. 

“Memang saya tidak mempercayainya, tengahari tadi lebih kurang jam 12, saya hantar isteri saya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana batuk dia semakin teruk dan mula semput. 

“Isteri saya memang positif tahap satu dan diarahkan kuarantin di rumah. Hari ni dia ajak pergi ke hospital disebabkan mula rasa sukar bernafas,” katanya. 

Malaysiapost yang menemui lelaki itu di perkarangan Jabatan Forensik HKL malam tadi berkata, hatinya berkecai apabila mendapat tahu isterinya telah disahkan meninggal dunia sebelum maghrib, meninggalkan dia dan dua orang anak berusia empat dan enam tahun. 

“Selepas Asar saya pulang ke rumah untuk menguruskan dua orang anak yang dijaga oleh adik ipar. Kemudian saya telefon pihak hospital untuk bertanyakan adakah apa-apa keperluan yang patut saya bawakan kepada isteri saya malam nanti. 

“Tapi lain pula jadinya, saya tak menyangka begitu cepat dia pergi meninggalkan saya dan anak-anak. Tak sampai sehari pun masuk hospital. Pihak hospital beritahu saya supaya sabar dan isteri saya dah tak ada,” katanya dengan linangan air mata. 

Wan menambah, isterinya yang berusia 33 tahun tidak mempunyai sebarang penyakit berbahaya sebelum ini dan sepatutnya mereka berdua menerima vaksin pada 14 Julai lalu. 

“Apakan daya, kami berdua tidak sempat untuk suntik vaksin. Isteri saya disahkan positif tahap pertama Isnin lalu, saya pula negatif tapi sebagai kontak rapat saya juga kena kuarantin di rumah. Ibu mertua yang positif Covid-19 terus dimasukkan ke wad HKL pada masa itu juga. 

“Isteri saya kuarantin di rumah keseorangan, saya dan anak-anak kuarantin di rumah mertua, mujurlah kami tinggal di blok apartmen yang sama,” katanya yang tinggal di Segambut. 

Meskipun redha dengan takdir Allah, Wan tetap ralat kerana tidak dapat memeluk dan mencium isteri tercinta buat kali terakhir. 

“Masa hantar ke hospital tadi, saya pakai PPE sambil memandu kereta sendiri. Siapa sangka dan saya pun tak sangka selama 5 hari kuarantin di rumah dia okay sahaja cuma malam tadi mula rasa tidak selesa bernafas dan batuk teruk. 

“Begitu cepat dan saya tak sangka cepat wabak ini merebak. Yang sedihnya saya tak dapat peluk dan cium dia buat kali terakhir, hanya kenangan perbualan di dalam kereta tadi sahaja yang jadi kenangan terakhir saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here