POLIS akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena sambutan Aidiladha, serta pasukan pemantau digerakkkan di seluruh negara dengan memfokuskan kawasan perumahan dan lokasi tumpuan awam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam mengambil tindakan tegas bagi memastikan segala SOP dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar SOP akan diambil tindakan tanpa kompromi.
“Menjelang sambutan Aidiladha pada 20 Julai 2021, PDRM ingin menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP sektor sosial (sambutan Hari raya Aidiladha tahun 2021) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pematuhan SOP yang ketat merupakan kunci kepada usaha melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acryl Sani berkata, peringatan juga diberikan agar masyarakat tidak menjalankan aktiviti ziarah dan kunjung mengunjung atau merentas negeri serta daerah sepanjang musim perayaan.
Katanya, sebarang pelanggaran SOP berhubung perkara tersebut akan diambil tindakan berdasarkan kepada peruntukkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Malaysiapost

