Sultan Selangor bimbang ada yang degil pulang ke kampung sempena Aidiladha

0
2

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan sekiranya masih ada pihak yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena Aidiladha esok.

Menerusi Titah Perutusan Sempena Aidiladha, Sultan Selangor menasihati umat Islam agar menyambut Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

“Baginda amat bimbang sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

“Justeru, Baginda mengambil kesempatan ini untuk menasihati umat Islam agar menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal,” menurut kenyataan dikeluarkan Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Selangor bertitah, baginda berharap sambutan kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Selain itu, Baginda mahu umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

“Oleh itu, Baginda menggesa orang Melayu Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT, serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat,” katanya.

Pada kesempatan itu juga, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here