INISIATIF temu janji vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’ di Selangor dan Kuala Lumpur yang diumumkan baru-baru ini adalah khusus untuk golongan tercicir dan belum mendapat janji temu selepas 1 Ogos ini.
Merujuk kepada satu mesej yang tular melalui media sosial hari ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, inisiatif berkenaan bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing.
CITF dalam kenyataan berkata, golongan yang belum mendapat janji temu membabitkan mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan.
Katanya, ia seperti yang diterangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Jumaat lalu.
“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang sudah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.
“Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, CITF memaklumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan walk-in pada Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, di mana PPV sedia ada tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif itu.
Sehubungan itu, CITF meminta mereka yang sudah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.
“Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes Covid-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” katanya.
Terdahulu, satu mesej tersebar melalui aplikasi WhatsApp mendakwa bermula 1 Ogos ini semua penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang berusia 18 tahun ke atas, yang masih tidak memperolehi vaksin boleh ke mana-mana PPV tanpa perlu mempunyai janji temu untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Mesej berkenaan turut menyenaraikan 50 PPV serta jenis vaksin yang disediakan di pusat terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku kesesakan. – Malaysiapost

