POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan tidak menerima sebarang laporan polis dan tiada kertas siasatan dibuka berhubung isu membabitkan penyanyi rap Caprice dan pendakwah bebas, Ebit Lew.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sejak beberapa hari lalu pihaknya mengesan isu hangat di media sosial mengenai tindakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli yang mempersoalkan tindakan Ebit ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.
“Setakat ini didapati tiada laporan diterima dan tiada kertas siasatan yang dibuka mengenai perkara ini. Namun orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebar atau membuat kenyataan yang berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang kerana ia merupakan satu kesalahan.
“Tindakan menyebar atau membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Justeru, orang ramai dinasihati agar tidak mensensasikan isu ini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika mendapati wujud pelanggaran undang-undang sebagaimana yang dinyatakan,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu kecoh di media sosial mengenai isu teguran Caprice terhadap sehingga dia menyifatkan tindakan pendakwah di Gaza, Palestin, baru-baru ini tidak adil kerana hanya menyantuni kanak-kanak dan orang susah
Bagaimanapun, Caprice akhirnya memohon maaf kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ebit Lew dan juga kepada rakyat Malaysia di atas segala kekhilafannya yang terlalu beremosi dalam usaha menjalankan misi bantuan ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Caprice memuat naik hantaran Instagram hari ini, memaklumkan perkara yang menjadi spekulasi sejak beberapa hari lalu adalah berpunca dari kesilapan dirinya dan tiada kaitan dengan pihak lain. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/19/caprice-mohon-maaf/

