Jangan aniaya peneroka FELDA – Pemuda Johor

0
1
Mohd Hairi Mad Shah

PEMUDA Umno Johor mendesak FELDA meletakkan tempoh masa baharu untuk ‘tarikh tutup’ mendapatkan tandatangan bagi penghapusan pinjaman peneroka.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tandatangan itu yang sepatutnya dilakukan pada 26 Julai ini, dianjakkan ke suatu tarikh yang sesuai bagi memberi ruang penjelasan dan sesi hebahan serta penerangan dapat dibuat ke setiap tanah rancangan.

“Jelaskan juga apa syarat atau terma yang akan dikenakan tanpa ada sorok dan selindung supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari dan pada masa akan datang kepada pewaris dan generasi baharu Felda,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau difahamkan beberapa hari selepas pengumuman dilakukan Perdana Menteri, pegawai-pegawai FELDA di tanah rancangan mula bergerak ke rumah peneroka untuk pastikan setiap mereka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan atas perjanjian yang dibawa.

“Kenapa begitu tergesa-gesa melaksanakan perkara ini, meminta tanda tangan peneroka serta-merta seperti ‘memaksa’ tanpa ada penerangan ada sesi perjumpaan atau hebahan bagi membolehkan peneroka, generasi yang mewarisi peneroka dan seluruh warga Felda mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya.

“Jangan cuba wujudkan jurang atau ‘gab’ informasi seperti ini, apabila wujud jurang atau ‘gap’, jangan pula dimarahkan peneroka atau warga Felda apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri, kerajaan dan pengurusan Felda yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu bukan kali pertama berlaku, sebelum ini juga pernah membabitkan permintaan tandatangan daripada peneroka.

Katanya, kerajaan perlu belajar daripada kesilapan sebelum ini, jangan terus aniaya dan menjadikan peneroka Felda mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri.

“Jika benar inisiatif diumumkan ini tidak membabitkan pengambil alihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang ini, nyatakan kebenaran dan perjelaskan kepada warga peneroka,” katanya.

Selain itu beliau meminta kerajaan untuk menilai semula penghapusan pinjaman bagi peneroka Felda kerana disifatkan tidak adil bagi sesetengah pihak.

“Seperkara lagi yang mahu dibangkitkan Pemuda Umno Negeri Johor adalah pengumuman ini seolah-olah memperlihatkan pengurusan Felda tidak adil kepada peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman, tetapi perlu diserahkan pula tanah, berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang.

“Sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.

Muhyiddin berkata, menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

Tambah beliau, purata bayaran balik pinjaman juga dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Mohd Hairi Mad Shah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here