Aidiladha: Annuar Musa rayu anak Klate tak pulang ke kampung

0
2

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa merayu anak Kelantan di ibu negara supaya tidak merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Ini kerana kata Ahli Parlimen Ketereh itu, Lembah Klang masih lagi merekodkan kes sporadik Covid-19 yang tinggi dan dibimbangi boleh mewujudkan kluster baharu jika berlaku aktiviti rentas negeri.

“Saya merayu kepada anak Klate di perantauan agar seberapa boleh tidak rentas sempadan “balek Klate”.

“Ini memandangkan Lembah Klang masih merekodkan kes sporadik yang tinggi. Kepulangan kita boleh membantut pemulihan Kelantan dan wujud semula kluster baharu,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis tidak akan menerima surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan merentas negeri antara 18 hingga 21 Julai ini.

Beliau berkata, larangan pergerakan merentas negeri menggunakan kelulusan MITI itu dibuat bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya untuk sambutan Aidiladha.

Menurutnya, ia susulan PDRM mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya dalam tempoh dua hari kebelakangan ini.

Terdahulu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata kerajaan negeri hairan dengan pertambahan masuk kenderaan ke negeri itu sejak beberapa hari lalu sedangkan kelulusan rentas negeri hanya melibatkan kes kecemasan.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada Selasa ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here