MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd daripada dakwaan berkaitan terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Turut dilepas dan dibebaskan adalah dua lagi entiti Asia miliknya yang berpangkalan di Singapura dan Hong Kong.
Memetik laporan Berita Harian Online, keputusan itu dibuat Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik tuduhan terhadap syarikat itu.
Mohamed Zaini turut membenarkan permohonan peguam bela supaya anak guam mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap tiga tertuduh itu.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili tiga entiti itu kemudian meminta penjelasan mahkamah sama ada permohonan pendakwaan adalah bagi dilepas dan dibebaskan.
Masri kemudian mengesahkan bahawa penarikan kes oleh pendakwaan itu adalah bagi pelepasan dan pembebasan penuh.
Pada 19 Disember 2018, pendakwaan memfailkan empat tuduhan ke atas Goldman Sachs kerana meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS Limited (Aabar Limited).
Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013, di 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Pertuduhan dilakukan mengikut Subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.
Goldman Sachs, bank pelaburan global, sebelum ini bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon membabitkan skandal 1MDB.
Jumlah penyelesaian dan wang yang sudah diterima oleh Malaysia daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) lebih dari AS$4.5 bilion (RM19.14 bilion) akan dikembalikan kepada kerajaan. Malaysiapost –

