PBT perlu ambil tindakan tegas terhadap kilang punca pencemaran air

0
2

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas menutup dan menarik balik lesen operasi kilang yang menjadi punca pencemaran air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan dan kerja pembersihan, serta notis amaran dilihat gagal membendung masalah itu.

“Keadaan hari ini menunjukkan mereka yang merosakkan sungai seakan-akan tidak mempedulikan tindakan undang-undang.

“Mungkin kerana terlalu ringan buat mereka, atau tiada penguatkuasaan ketat oleh pihak PBT. Tindakan lebih keras wajar dikenakan agar tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Shahril, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), komitmen beliau adalah untuk memberikan penerangan jelas kepada rakyat tentang situasi dihadapi kini.

Tambahnya, ia bertujuan agar mereka faham bahawa pencemaran di muka sauk ini hampir keseluruhannya disebabkan oleh kilang-kilang komersil di Sungai Gong.

“Syarikat Air terpaksa menutup LRA demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat agar tiada kes yang tidak diingini berlaku akibat minum air tercemar.

“Kelestarian antara pembangunan di Selangor dan menjaga alam sekitar penting demi kesejahteraan rakyat dan memperkasa ekonomi negeri,” katanya.

Pagi tadi, pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum dapat beroperasi sehingga jam 6.30 pagi ini.

Ini kerana pencemaran masih dikesan di muka sauk loji-loji dan kini berada pada tahap 1 TON, berbanding semalam pada 2 TON.

LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON. – Malaysiapost