SEORANG peneroka didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di Negeri Sembilan kerana menampar dan menendang muka jemaah di dalam Masjid Felda Palong Tujuh.
Kejadian tersebut terpapar di rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu sehingga video tersebut tular di laman sosial baru-baru ini.
Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu ke atas Kamarudin Desa, 60, dari Felda Palong Tujuh yang mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah, seperti yang dilaporkan Harian Metro semalam.
Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku pada jam 9 malam, 24 Ogos lalu di Masjid Felda Palong Tujuh.
Tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Jamal Idris, 62, dengan cara menampar dan menendang menggunakan tangan dan kaki.
Oleh yang demikian tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Fakta kes menyebut kejadian berlaku selepas solat Isyak dan ketika itu Jamal melalui belakang tertuduh sambil membawa sehelai sejadah.
Kemudian, sejadah dibawa Jamal terkena bahagian belakang badan tertuduh sehingga menimbulkan kemarahannya.
Lantas tertuduh bangun dan terus menampar serta menendang muka Jamal yang juga peneroka Felda Palong Tujuh.
Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Salwati Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Malaysiapost

