PEMUDA Umno menegaskan desakan dibuat melalui 10 tuntutan rakyat bukan bertujuan membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
Sebaliknya, Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia realiti sebenar keadaan dihadapi rakyat ketika ini susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata setiap hari pihaknya menerima ribuan komen dan mesej daripada rakyat yang mengadu mengenai penderitaan dialami mereka.
Menurutnya, dalam mesyuarat dengan Ketua-Ketua Pemuda Umno negeri semalam untuk penyelarasan gerak kerja membantu rakyat, juga dibangkitkan pelbagai isu rakyat yang hakikatnya amat susah, terdesak dan tertekan.
Beliau turut berkongsi tangkap layar maklum balas mengenai tekanan dialami sebuah keluarga hingga cuba membunuh diri kerana tidak mampu lagi bertahan.
Berdasarkan perkongsian itu, berlaku cubaan membunuh diri membabitkan ibu serta anak-anaknya dan lebih membimbangkan tindakan itu dicadangkan anak-anaknya sendiri yang sudah tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung ibu mereka.
“Bagi yang masih sangsi dan cuba meremehkan seolah-olah Pemuda Umno hanya memainkan sentimen rakyat agar marahkan kerajaan, tolonglah baca lampiran yang disertakan ini.
“Kes yang saya kongsikan ini hanyalah satu daripada ribuan komen dan mesej kami Pemuda Umno terima setiap hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, dalam komen di hantarannya itu, Asyraf Wajdi berkata maklum balas itu menunjukkan rakyat terutamanya M40 termasuk swasta dan kakitangan awam kini amat terkesan.
“Apabila bantuan yang diberikan bukan sekadar RM1,000 tetapi RM10,000 atau lebih mengikut kadar jumlah simpanan yang mereka ada di Akaun 1 dan 2 bagi melangsaikan komitmen hutang dan bebanan yang tertangguh lama akibat PKP.
“Rakyat juga meminta moratorium tanpa faedah terakru kerana penangguhan pembayaran ansuran bulanan penting kerana ketika ini dengan PKP berterusan, mereka sudah tiada wang simpanan untuk selesaikan komitmen bulanan,” katanya. – Malaysiapost

