Polis Kelantan kesan pertambahan kenderaan dari utara

0
1
lebuhraya jam kereta jalanraya highway pkp

POLIS Kelantan mengesan peningkatan kemasukan kenderaan ke negeri itu terutama dari utara melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata peningkatan jumlah kenderaan adalah dari Perak, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, kemasukan kenderaan di pintu masuk di sekatan jalan raya (SJR) Gua Musang dan Pasir Puteh pula tidak mengalami pertambahan berikutan warga kota tidak pulang ke kampung untuk sambutan Aidiladha.

“Mereka yang masuk ke negeri ini ada alasan kerana mempunyai surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kebanyakan mereka ada surat termasuk mahu menziarahi kematian ahli keluarga, ziarah keluarga yang sakit dan suntikan vaksin Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Menurutnya, di beberapa bandar utama seperti Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Machang turut berlaku pertambahan kenderaan sebanyak 15 peratus sejak semalam.

“Pertambahan kenderaan di bandar utama ini kerana orang ramai keluar untuk membeli barang keperluan menyambut Aidiladha.

“Kenderaan di bandar utama ini adalah membabitkan penduduk tempatan atau dari daerah yang sama sahaja,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta masyarakat supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, kes di Kelantan masih berada pada kadar tiga angka dan orang ramai diminta mematuhi peraturan ditetapkan.

“Polis menasihatkan kepada masyarakat yang tiada keperluan untuk keluar supaya terus kekal di rumah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here