Pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi dalam masa terdekat – Nancy

0
1
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara. MOTAC

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersetuju meningkatkan kadar imunisasi penduduk Pulau Langkawi dalam masa terdekat, seterusnya merealisasikan ia sebagai destinasi perintis bagi Program Covid-19 Free Destination.

Ia bagi membolehkan 80 peratus populasi penduduk pulau itu divaksinasi untuk mencapai tahap imuniti kelompok, selaras dengan tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan digariskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha itu akan diperluaskan ke destinasi pelancongan lain iaitu Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai green travel bubble.

Katanya, Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin juga memberi jaminan bekalan vaksin di Langkawi akan tiba minggu depan dan mencukupi bagi menjayakan sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

Beliau berkata, jumlah penduduk Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin dianggarkan 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk berjumlah 111,500 orang.

“Mengikut laporan dikeluarkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kedah, sehingga 12 Julai lalu, penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi adalah 61,313 orang.

“Daripada jumlah tersebut, bilangan penerima vaksin dos pertama adalah 27,362 orang manakala dos kedua 20,465 orang.

“Ini bermakna hanya 30 peratus jumlah penduduk yang mendaftar telah menerima dos lengkap. Angka ini masih rendah. Sebab itulah kita mahu memastikan usaha yang dilaksanakan ini dapat membantu mempercepatn kadar pemberian vaksinasi kepada penduduk pulau ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengenai pemilihan Pulau Langkawi, Nancy berkata strategi untuk memilih destinasi perintis adalah perlu bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap keselamatan sesuatu destinasi pelancongan negara.

Sebagai permulaan, katanya, Pulau Langkawi dipilih sebagai “testing ground” untuk menyemarakkan kembali industri yang lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 memandangkan pulau itu terasing (isolated) yang akan memudahkan urusan pemantauan.

“Destinasi perintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya tersendiri seperti rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi (PPVI) baharu dilancarkan hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima vaksin disasarkan seramai 3,000 orang sehari.

Katanya, usaha MOTAC menerusi program ini adalah untuk memastikan sektor pelancongan mampu menjana semula pendapatan
secara berterusan kepada negara selepas dapat dibuka secara berperingkat.

Terdahulu beliau mengadakan sesi lawatan ke PPVI LICC, selan meninjau perjalanan proses pemberian vaksin di dua PPV awam sedia ada iaitu Klinik Kesihatan Padang Mat Sirat dan Dewan Badminton Kompleks Sukan LADA. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here