Perkemas program bantuan rakyat

0
1

GABUNGAN 45 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam menggesa kerajaan memperkemaskan lagi pelaksanaan program bantuan rakyat, terutama moratorium agar tidak dilihat cuba memerangkap peminjam dengan terma pro-institusi kewangan yang mengelirukan.

Koordinator Gabungan NGO Melayu-Islam, Ahmad Yazid Othman berkata perhatian perlu diberi agar moratorium yang sedang ditawarkan tidak menzalimi rakyat yang kebanyakannya terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan memastikan moratorium tanpa riba dan tanpa syarat untuk semua bank.

“Unsur riba bukan sahaja menyebabkan rakyat Muslim secara sistematik menolak moratorium ini, bahkan mereka yang sanggup menerima akan terperangkap dengan hutang berganda.

“Hanya yang berkemampuan sahaja menolak tawaran moratorium dan ia sekali gus menggagalkan matlamat dan hujah kenapa moratorium diperlukan rakyat ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Yazid berkata, pihaknya menerima maklumat kebanyakan penyewa rumah atau pejabat tidak diberi diskaun oleh tuan tanah, mengakibatkan hutang isi rumah bertambah dan masalah hutang isi rumah terus menekan semua bertahun tahun selepas ini.

“Kami juga agak terkilan apabila menerima banyak aduan tentang kandungan surat tuntutan bayaran oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun ini seolah-olah menafikan krisis yang melanda.

“Surat potongan gaji CP38 juga telah dikeluarkan LHDN tanpa merujuk kedudukan kewangan semasa rakyat yang dicukai menambah keresahan.

“Kami berharap kerajaan dan agensi pemungut cukai yang dilantik agar lebih empatik terhadap situasi kewangan yang dialami oleh masyarakat,” katanya.

Menurutnya, daripada menuntut bayaran cukai, tindakan lebih bertanggungjawab ialah kerajaan menawarkan ‘tax holiday’, bayaran secara ansuran, pemberian rebat yang lebih banyak dan banyak lagi termasuk tidak mengenakan riba bagi cukai tertunggak.

“Kerajaan perlu tangani kenaikan kes kebankrapan dengan membekukan tindakan ‘foreclosure’ serta pengisytiharan muflis yang dikatakan meningkat mendadak sepanjang tempoh PKP.

“Unjuran kami mendapati pada kadar vaksinasi yang semakin baik iaitu 400,000 sehari, namun matlamat imuniti berkelompok sukar dicapai jika kerajaan tidak mampu mengurus jangkitan baharu yang mencecah lebih 10,000 setiap hari,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga harus fokus kepada memperluas bantuan ke seluruh pelusuk tanah air dengan kerjasama dengan NGO yang lebih dekat dengan orang ramai yang terkesan, dapat salur bantuan fizikal, serta menyediakan sokongan emosional dan spiritual dengan lebih tersusun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here