Contohi Umno Sabah – Puad Zakarshi

0
2

UMNO dilihat semakin berpecah dengan banyak keputusan kepimpinan parti ditentang dan tidak dipatuhi termasuk dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang menarik sokongan kepada Perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli MKT Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ramai yang melihat Umno sudah berpecah, namun bukan kerana pemilihan parti tetapi nampak berpecah disebabkan ada yang menentang keputusan parti.

Menurutnya, ada yang sanggup menjadi ‘power broker’ untuk ‘menjual’ parti serta berunding tanpa restu parti semata-mata untuk mengekalkan jawatan dan takut dikenakan tindakan.

“Terbaru MKT putus tarik sokongan kepada Perdana Menteri. Tetapi ‘kluster menteri’ pula buat keputusan songsang. Mereka sokong Perdana Menteri.

“Rakyat dijadikan alasan. Pandemik dijadikan alasan. Perpecahan Melayu dijadikan alasan dan peruntukan kawasan juga jadi alasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menggesa kepimpinan Umno tegas menghentikan gejala tidak sihat yang sedang melanda parti sekarang ini.

“Umno perlu tegas. Tinggal 10, sepuluhlah. Tinggal tiga, tiga lah. Umno Sabah contoh terbaik,” katanya.

Jelasnya, seramai 21 ketua bahagian Umno Sabah meninggalkan parti sebelum ini dengan hanya tiga pemimpin yang tinggal iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Raime Unggi; dan Datuk Yakub Khan.

“Mereka yang lari itu bukan kecil anak. Sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), lima Ahli Parlimen dan dua Senator. Bukan calang calang. Umno umpama habis madu sepah dibuang.

“Tetapi ada Umno Sabah tersungkur? Ahli dan pemimpin bawahan tidak lari. Timbalan, Naib, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda tampil menggalas tugas ketua bahagian yang lari,” katanya.

Beliau berkata, sebab itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, walaupun disabotaj dan ditikam dari belakang, Umno menang 14 kerusi berbanding Bersatu 13 kerusi, namun Bersatu dapat jawatan Ketua Menteri kerana Perikatan Nasional (PN) ada 21 kerusi di Sabah.

“Justeru Umno tidak boleh apologetik. Konon takut perpecahan. Disiplin tetap disiplin. Langgar disiplin ada musibahnya. Tiada kompromi dalam bab tatatertib.

“Tinggal tiga, tiga lah. Ahli tidak lari. Di sebelah sana nanti akan sampai giliran mereka, habis madu sepah dibuang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here