TUJUH tahun berlalu, Malaysia sentiasa komited dan memberikan sokongan penuh dalam usaha mengheret mereka yang bertanggungjawab atas tragedi menimpa MH17 ke muka pengadilan.
Dalam tragedi 17 Julai 2014 itu, pesawat Penerbangan Malaysia tersebut ditembak jatuh dan disahkan terhempas di wilayah Donetsk, Timur Ukraine.
Tragedi tersebut telah mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan berkata Malaysia juga menuntut segala bukti yang ada didedahkan kepada umum dan proses kehakiman dijalankan secara adil.
Pada masa sama, katanya ia tidak dipengaruhi oleh apa jua tekanan politik bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Malaysia mengulangi pendirian bahawa pelaku yang tidak berperikemanusiaan ini perlu diheret ke muka pengadilan.
“Bukan hanya untuk menegakkan keadilan tetapi juga sekurang-kurangnya dapat memberi ketenangan kepada setiap ahli keluarga mangsa tragedi yang kehilangan insan tersayang,” katanya kenyataan itu hari ini.
Menurut MOT, Malaysia yakin dan berharap pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini tidak menjadi penghalang kepada usaha menegakkan keadilan bagi membela mangsa-mangsa tragedi penerbangan MH17.
“Doa kita semua sentiasa mengiringi pemergian para mangsa dan mereka yang tersayang.
“Semoga ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa diberi kekuatan serta ketabahan sementara kami meneruskan usaha menuntut keadilan,” kata kenyataan itu lagi. – Malaysiapost

