Aidiladha: Trafik menghala pantai timur dijangka menurun

0
2

ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangka jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding purata harian untuk tempoh musim perayaan Aidiladha bermula 16 hingga 25 Julai ini.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata penurunan itu masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1.

Katanya, bagi mengekang penularan Covid-19, semua fasiliti sepanjang KLK dan LPT 1 mempraktik prosedur operasi standard, (SOP) tinggi, sebagaimana ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri, dan alat pengimbas suhu badan.

“Oleh itu, pengguna lebuh raya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuh raya.

“Di dalam kita mensyukuri nikmat Aidiladha yang bakal tiba, jangan alpa untuk terus mematuhi SOP disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nik Fauzi, meskipun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan ketika ini, ANIH Berhad terus peka memastikan operasi dan fasiliti di sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan terbaik.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab syarikat itu memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1.

Berikutan itu, katanya, syarikat tersebut mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.

“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuhraya termasuk Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Untuk perjalanan yang lancar, katanya, pengguna dinasihat memastikan baki kad dan eWallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

“Bagi urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarikat di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

“Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here