2 juta pekerja industri terima vaksin menjelang September – Azmin

0
1

SEKURANG-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan disasar menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang September ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkembangan terkini syarikat yang telah mendaftar di dalam PIKAS juga menunjukkan sambutan amat memberangsangkan.

Katanya, sejak awal pelancarannya sehingga 14 Julai lalu, 101,117 pekerja telah menerima dos pertama vaksinasi.

“Melihat angka pendaftaran yang semakin meningkat, pendaftaran menyertai PIKAS akan dicepatkan lagi agar lebih ramai pekerja sektor pembuatan menerima vaksin dan mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Bagi memudahkan kelancaran proses pendaftaran, syarikat berminat disarankan membuat pendaftaran secara atas talian di http://pikas.miti.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, syarikat yang telah menghantar maklumat melalui emel sebelum ini, dinasihatkan untuk memasukkan maklumat tersebut di sistem atas talian yang disediakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, maklumat tambahan untuk syarikat yang memohon PIKAS, kelulusan permohonan tertakluk kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) atau Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semoga usaha ini mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan kerana PIKAS mampu mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan kondusif untuk mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here