HANYA tinggal 10 peratus warga Kuala Lumpur berusia 18 tahun ke atas yang masih belum mendapat suntikan pertama vaksin Covid-19 setakat semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya akan mempertingkatkan lagi usaha dan akan membantu mereka yang masih belum divaksinasi untuk mendapatkannya segera.
“Kira-kira 10 peratus lagi penduduk berusia 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur yang masih belum mendapat suntikan pertama.
“Kita akan bantu mereka memudahkan vaksinasi. Boleh hubungi Rumah Prihatin@Grand Seasons jika perlukan bantuan untuk vaksinasi,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Terdahulu beliau memaklumkan daripada 1,604 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Kuala Lumpur semalam, 99 peratus daripadanya adalah membabitkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau gejala ringan.
“Ini membuktikan vaksinasi yang tinggi di Wilayah Persekutuan mula menunjukkan kesan positif. Hanya satu peratus dalam kategori 3 ke atas.
“Vaksinasi terus diperhebat ke arah mencapai imuniti komuniti bulan depan insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

