Harapan England jadi tuan rumah Piala Dunia 2030 kian pudar

0
2

HARAPAN England untuk dipilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 kian pudar susulan pelbagai insiden keganasan penyokongnya sebaik sahaja aksi final Euro 2020 berakhir tempoh hari.

Pengerusi Jawatankuasa Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan England, Julian Knight sendiri mengakui bahawa mereka kini di belakang Portugal dan Sepanyol yang juga bersaing untuk mendapat hak penganjuran kejohanan terulung dunia bolasepak itu.

“Saya benci untuk menyatakannya, ianya sedang mati, namun saya tak optimistik sebelum ini. Kerana, secara kasarnya, kita tak ada reputasi yang bagus di kalangan peminat bola sepak yang lebih luas,” katanya dipetik Telegraph Sport.

Mengulas lanjut, Knight menjelaskan, untuk menjadi pembida hak penganjuran England memerlukan sokongan daripada UEFA.

Katanya, secara dasarnya buat masa ini, UEFA lebih menyokong Portugal dan Sepanyol berbanding England.

“Kita perlukan sokongan UEFA untuk memasuki persaingan Piala Dunia (membida hak sebagai penganjur) , mereka boleh menyokong negara seperti Sepanyol atau Portugal, dan England.

“Selepas apa yang berlaku, saya rasa, UEFA akan lebih menyokong Sepanyol ataupun Portugal berbanding dengan kita,” katanya.

Bagaimanapun, Knight masih berharap agar England mampu memenangi hak penganjuran Piala Dunia 2030.

Gelagat ganas penyokong England mendapat kecaman antarabangsa kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Pelbagai gambar dan video tular di media sosial menunjukkan sikap penyokong England ibarat tidak bertamadun seperti memijak dan membakar bendera Itali, membelasah penyokong Itali dan merusuh mengganggu ketenteraman awam.

Malah penyokong England juga dikecam kerana mengamalkan perkauman kaum dengan menyerang media sosial pemain negara itu Bukayo Saka susulan gagal menjaringkan gol penentuan sepakan penalti sekali gus menobatkan Itali muncul juara Euro edisi kali ini.

Dalam aksi final itu, Itali menewaskan tuan rumah 3-2 dalam penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 sama meskipun perlawanan itu dilanjutkan ke masa tambahan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Semuanya Bola

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here