AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik meluahkan rasa kagum melihat kesungguhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang duduk di bawah panas terik berbekalkan payung bagi mengikuti sesi pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Dr Maszlee yang juga bekas Menteri Pelajaran memberitahu bertemu dengan pelajar itu semasa dalam perjalanan pulang daripada memberi bantuan kepada penduduk di Kampung Bukit Nyamuk.
Katanya, pelajar bernama Nabilah terpaksa duduk di bawah payung di hadapan rumah demi mendapat capaian internet berikutan rangkaian begitu lemah dan hampir tiada di kawasan tersebut.
“Mendengar aduan Nabilah, hati saya menjadi sendu, pilu dan pasrah, tetapi kagum dan bangga dengan usaha beliau.
“Saya mengambil kesempatan tersebut untuk berbicara dengan gurunya yang sedang rancak mengajar subjek Sains tingkatan dua, Cikgu Izan dari sekolah Menengah Kahang.
“Melalui suara beliau yang bersemangat dan juga bahan bahan yang dipaparkan di skrin, Cikgu Izan pastinya seorang yang berdedikasi dan berjiwa kental.
“Saya pasti Cikgu Izan agak terkejut ketika saya menyapa beliau. Maafkan saya Cikgu,” tulisnya di hantaran itu.
Dr Maszlee juga mengucapkan tahniah kepada adik Nabilah dan kembarnya serta Cikgu Izan kerana bertungkus lumus mengajar walaupun dengan seribu cabaran.
Seperti yang telah ditekankan semalam, pihaknya akan cuba memastikan syarikat telekomunikasi datang ke kawasan Simpang Renggam untuk menaik taraf rangkaian internet.
“Kita doakan, InshaAllah tidak lama lagi kawasan-kawasan ini akan mendapat capaian internet yang lebih elok. Harapan saya agar adik-adik seperti adik Nabilah dan adik Nadia tidak perlu lagi duduk di tepi jalan demi menghadiri kelas PdPR.
“Anak-anak murid dan guru ingin ke sekolah, namun keadaan tidak mengizinkan. Semoga keadaan akan kembali pulih seperti biasa… bersama kita doakan,” ujarnya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Dr Maszlee

