Sultan Kelantan: Jangan balik kampung sempena Aidiladha, elak penularan Covid-19

0
2

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan supaya rakyat negeri itu tidak merentas negeri balik ke kampung sempena Aidiladha ini bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda bertitah anak-anak yang tidak balik ke kampung ketika pandemik bukan bermakna mereka tidak menyayangi ibu bapa mereka namun demi kebaikan.

“Sebaliknya, ini adalah pilihan lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.

“Apabila kita tidak berjumpa dengan mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus Covid-19 yang kini mempunyai mutasi semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, baginda turut meminta supaya rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan seperti memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri supaya tidak dijangkiti virus Covid-19.

Sultan Muhammad V juga menasihatkan supaya status pembukaan masjid dikekalkan seperti ketetapan sedia ada sebagai langkah pencegahan.

“Menjadi tanggungjawab agama setiap individu dan masyarakat mengambil langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari tempat-tempat awam, termasuk masjid agar orang sihat tidak dijangkiti.

“Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim),” titah baginda.

Sultan Muhammad V turut menyeru seluruh rakyat bersabar menempuhi saat-saat sukar dan berganding bahu memainkan peranan meringankan beban petugas kesihatan.

“Baginda juga mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes yang mencanak naik ini dapat dilandaikan dan imuniti kelompok akan berjaya dicapai secepat mungkin,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here