SEORANG pesara tentera yang tidak pulang ke rumah selama 22 jam, ditemui rentung dalam sebuah van di Kampung Bechah Kura, Peringat, Kelantan hari ini.
Penduduk kampung menjumpai mangsa, Ibrahim Mohd Nor, 59, jam 3.30 petang tadi, selepas melihat api dan asap pada van jenis Toyota Liteace.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, berkata mayat yang tinggal rangka dan sukar dikenali itu ditemui di tempat duduk pemandu.
“Maklumat daripada penduduk kampung mengatakan ada ternampak kepulan asap tebal di lokasi petang semalam namun menyangkakan hanya kebakaran biasa memandangkan ia adalah kawasan semak serta kedudukannya 200 meter daripada jalan utama.
“Bagaimanapun petang tadi seorang penduduk yang masuk ke kawasan itu dan ternampak sebuah van yang rentung sebelum mendapati rangka manusia yang hangus 100 peratus di tempat duduk pemandu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang pesara tentera dan memiliki kad rawatan mental serta mengalami masalah kemurungan sejak sekian lama.
Menurutnya, mangsa yang juga mengusahakan perniagaan katering sering mendapatkan rawatan di hospital mental di sini dan keadaan kesihatannya semakin teruk sejak kematian bapa mentua awal tahun ini.
Anak mangsa, Amin Ibrahim, 19, berkata, mereka menyedari ayahnya keluar seorang diri dari rumah di Kampung Bechah Keranji, Peringat jam 5 petang semalam dengan memandu van.
“Saya menunggu kepulangan ayah sehingga pukul 7 malam sebelum keluar mencarinya di sekitar kampung dengan menunggang motosikal.
“Saya pulang semula ke rumah pukul 11.30 malam dan keluar semula bersama abang angkat untuk mencarinya sejauh 50 kilometer hingga ke sempadan Kuala Besut, Terengganu,” katanya.
Bimbang berlaku perkara buruk, dia tampil ke balai polis berhampiran untuk melaporkan kehilangan bapanya itu sebagai makluman awal.
“Saya juga membuat hebahan menerusi aplikasi Whatsapp selain keluar mencari bapa bersama rakan serta penduduk kampung di sekitar kampung namun gagal sebelum menerima berita mengenai penemuan van dan rangka manusia yang sudah rentung,” katanya. – Malaysiapost

