
SIDANG khas Parlimen yang bermula 26 Julai ini bukan persidangan Parlimen sebenar, namun hanya majlis taklimat jika tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata semua Ahli Parlimen parti tersebut belum memutuskan sama ada akan hadir atau sebaliknya.
“Kita nak tahu sama ada perbahasan ada atau tidak. Kalau ada usul kita akan hadir. Kalau tiada, kami akan fikir hadir atau tidak.
“Itu kemudian. Belum ada keputusan mengenainya lagi,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam sidang media secara maya hari ini.
Pada 5 Julai lalu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Persidangan Parlimen yang bakal berlangsung itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. – Malaysiapost
