Perdana Menteri setuju sidang Parlimen dibuka 6 September

0
1
Bangunan Parlimen Malaysia

SETELAH digantung susulan pelaksaan proklamasi darurat, persidangan Parlimen bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan pada 6 September ini.

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis memutuskan mesyuarat pertama Dewan Rakyat berlangsung dari 6 hingga 30 September ini.

Manakala, mesyuarat kedua Dewan Rakyat bakal bermula 25 Oktober hingga 16 Disember 2021.

“Dengan pemakluman ini, istiadat pembukaan mesyuarat penggal keempat, Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong pada 6 September jam 10 pagi di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Azhar memaklumkan pada 26 Julai ini akan berlangsung mesyuarat khas Parlimen selama lima hari.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah memaklumkan hari ini kepada pejabat Speaker Parlimen bahawa mesyuarat khas itu selari dengan faedah orang ramai.

Katanya, adalah mustahak untuk diadakan satu mesyuarat khas sebelum tarikh mesyuarat akan datang yang ditetapkan mengikut peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sehubungan itu Setiausaha Dewan Rakyat akan menyusul dengan mengeluarkan pemberitahuan mesyuarat khas tersebut kepada semua ahli Dewan Rakyat hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here