PERSIDANGAN Parlimen yang dijadual pada 26 Julai ini, akan tetap diadakan meskipun dilaporkan berlaku penularan
jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas di bangunan Parlimen.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata keadaan semasa terkawal dan tidak akan menjejaskan perjalanan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14.
Katanya, ia berdasarkan laporan harian dimaklumkan Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Hayati Awang hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tepat kakitangan Parlimen yang dijangkiti atau menjadi kontak rapat.
Difahamkan, jangkitan itu membabitkan ramai pengawal keselamatan yang setakat ini lebih 10 orang mengalami gejala seperti batuk dan sakit tekak.
“Keadaan ini tidak akan menjejaskan perjalanan Mesyuarat Khas Parlimen selain keadaan di sini, semuanya terkawal dan berada di bawah kendalian pusat kesihatan daerah.
“Mereka (kes positif Covid-19 dan kontak rapat) kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menerusi hantaran ringkas di Facebook, meminta supaya Mesyuarat Khas Parlimen tetap diadakan, selain Parlimen perlu mengguna pakai protokol sama ketika mengendalikan kes Covid-19.
“Di kementerian juga dari semasa ke semasa akan ada kes positif (Covid-19). Pegawai positif dirawat, kontak rapat dikuarantin, dan kementerian tetap berjalan.
“Prinsip sama perlu diguna pakai untuk Parlimen. Banyak perkara perlu dibahas, dipertimbang dan diputuskan. Ini tidak patut dijadikan alasan untuk tangguh sidang pada 26 Julai ini,” katanya. – Malaysiapost

