Tak payah naik bendera putih – Muhyiddin

0
3

RAKYAT tidak perlu mengangkat bendera putih kerana kerajaan mempunyai data dan rekod individu daripada kumpulan sasar yang memerlukan bantuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata ia membolehkan kerajaan menyampaikan bantuan kepada sebahagian dari kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana hilang pekerjaan dan tidak boleh berniaga.

“Jadi tak payah naikkan bendera putih ke hitam, nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi kita tahu di mana mereka berada, Kementerian (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ada rekod.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Rina (Harun), (senarai) penerima akan dicatat, masuk dalam akaun menunjukkan dia dah terima (bantuan),” katanya kepada media selepas melancarkan program Bakul Prihatin Negara di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata susulan bantuan diagihkan kerajaan serta pelbagai pihak lain, beliau berasa ramai yang telah menerima begitu banyak barangan bantuan.

“Rasa saya kalau turun ke banyak rumah tengok dapur dah penuh kot, tapi saya tak kata semua dapat begitu, tapi kita akan buat sistem supaya agihan adil dan saksama,” katanya lagi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berterusan menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan ketika pandemik ini.

“Ini contoh terbaik rakyat yang sedar zaman susah, kita sama-sama susah, baik jiran pun begitu… ini usaha yang kita terus lakukan di samping langkah-langkah lain untuk tangani Covid-19,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri berkata program Bakul Prihatin Negara membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta.

Katanya, setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Setakat ini, katanya, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan 2.315 juta bakul makanan membabitkan peruntukan RM173.4 juta yang memanfaatkan 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here