Sidang Parlimen peluang PN buktikan dapat sokongan majoriti

0
2

PERSIDANGAN Parlimen pada 26 Julai ini, adalah peluang terbaik untuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan mendapat sokongan majoriti dewan.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata dalam keadaan negara menghadapi pelbagai isu kesihatan dan ekonomi, kerajaan perlu mengesahkan legitimasinya serta mengembalikan fungsi Parlimen.

Katanya, legitimasi kerajaan ini penting kerana ia akan memulihkan keyakinan rakyat, meyakinkan pelabur dan pasaran, menghentikan politiking dengan tekaan jajaran parti baharu, menghentikan spekulasi sokongan serta menstabilkan politik negara.

“Pertanyaan dan pengumuman semua menteri menyokong PM kelmarin kedua-duanya tidak relevan difikirkan.

“Serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Ahli Parlimen untuk memikirkan parti mana, siapa dan kerajaan mana yang terbaik untuk negara. Mereka yang mempunyai kuasa mengundi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya kerajaan gagal mendapat undi percaya maka adalah baik untuk menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

“Serahkan kepada Agong untuk membuat keputusan mengikut budi bicara baginda (Perkara 40(2)).

“Tetapi jika ditanya saya, apakah kita perlu pilihan raya jika berlaku sesuatu di luar jangka. Jawapan saya tidak. Suasana sekarang tidak kondusif untuk kita mengadakan pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Agus turut mempersoalkan signifikan apabila semua menteri semalam, menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Lebih signifikan lagi yang perlu diketahui ialah sokongan majoriti bukan ditentukan oleh menteri, tetapi 222 ahli parlimennya.

“Sebab itulah, jika tujuan melaporkan semua menteri menyokong PM adalah untuk menunjukkan PM mempunyai majoriti ia tidak menjawab persoalan asas.

“….. yang menjadi perdebatan sekarang, apakah PM mempunyai majoriti untuk terus berkuasa?,” soalnya.

Semalam, ahli Jemaah Menteri sebulat suara kekal memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ahli Jemaah Menteri dalam kenyataan ringkas berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini. – Malaysiapost

Foto Kredit: Suara Paktan Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here