Mujahid sedia beri kerjasama kepada RCI Tabung Haji

0
3
Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf

DATUK Seri Dr Mujahid Yusof bersedia dipanggil untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagj menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berharap RCI yang ditubuhkan itu tidak mempunyai agenda politik dalam usaha mencari kebenaran.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa RCI Tabung Haji perlu telus dan profesional tanpa agenda politik di sebaliknya dan jika saya dipanggil untuk memberi keterangan, saya bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang kerajaan PH (Pakatan Harapan) telah ambil untuk selamatkan TH termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu yang terlibat dalam penyelewengan dana TH,” katanya di Facebook, hari ini.

Naib Presiden Amanah itu juga menegaskan, dirinya memang menyokong penubuhan RCI Tabung Haji namun berpendapat anggota RCI perlulah terdiri daripada pakar yang berkelayakan.

“Setelah 17 bulan PN (Perikatan Nasional) berkuasa dan isu RCI Tabung Haji disensasikan, akhirnya Timbalan Perdana Menteri dari Umno menyatakan bahawa kabinet setuju untuk menubuhkan RCI atau Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang Tabung Haji. Syabas dan tahniah!

“Sepanjang tempoh 22 bulan saya diberikan amanah menjaga TH di bawah JPM Agama, saya dan pasukan TH telah bertindak berpandukan atas laporan firma audit profesional yang disebut untuk menjayakan pelan penstrukturan semula di mana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangannya dan integritinya,” katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan RCI merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Katanya, penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan TH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here