
DATUK Seri Najib Razak kesal terhadap tindakan lambat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyebabkan Varian Delta Covid-19 menular menjangkiti rakyat Malaysia.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Malaysia yang lambat menaikkan tempoh kuarantin kepada individu yang memasuki negara menjadi punca varian Covid-19 paling bahaya kian menular ke dalam negara.
“Berita mengenai varian Delta Covid mengganas dalam Malaysia sedang mendapat liputan meluas dalam media ketika ini.
“Pada pertengahan April lalu, saya tuntut kerajaan PN untuk naikkan semula tempoh kuarantin bagi pengembara sebab masa itu saya amat risau dengan mutasi berkembar India, yang kini dinamakan varian Delta,” katanya dalam Facebook, hari ini.
Lebih mengecewakan, Najib berkata, gesaan beliau pada Disember tahun lalu itu telah mendapat kecaman daripada pihak-pihak yang pro Kerajaan PN yang menyifatkan cubaan menghasut rakyat membenci kerajaan.
“Saranan naikkan semula tempoh kuarantin sudah saya buat banyak kali sejak bulan Disember sebaik sahaja kerajaan tiba-tiba umum tempoh dikurangkannya separuh ke tujuh hari sahaja.
“Masa itu, JKOM kecam saya. Tanya siapa saya untuk buat tuntutan. Suruh saya jangan kacau kerajaan atau hasut Rakyat,” katanya.
Bagaimanapun menurut Najib, akhirnya Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akur juga untuk menaikkan tempoh pengembara luar memasuki negara pada Mei lalu.
“Saya tuntut pada pertengahan bulan April lalu sebab pada saya data dan sains menunjukkan risiko besar varian Delta ini walaupun lonjakan kes baru bermula di India. Masa itu, Malaysia juga belum dikenakan PKP 3.0 sebulan kemudian.
“Akhirnya, kerajaan PN laksanakan juga saranan yang dibuat saya pada Disember lebih 6 bulan kemudian pada 24 Mei.
“Tetapi sudah terlambat sebab varian Delta sudah menular masuk ke Malaysia melalui beberapa negara-negara lain termasuk dari India untuk meragut nyawa Rakyat Malaysia,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu juga kesal kerana kerajaan telah memperjudikan nyawa rakyat meskipun berulang kali ditegur atau dinasihati untuk berbuat demikian.
“Cuba fikir dari sudut saya, betapa geramnya saya melihat penderitaan dan kerosakan pada negara berlaku di depan mata saya akibat tindakan lembab kerajaan?
“Jangan beri alasan varian Delta juga mengganas di beberapa negara lain. Malaysia bukan satu-satunya.
“Negara lain, depa punya hal. Kita jaga negara kita. Kita bandingkan dengan yang lebih baik bukan nak banding dengan yang terburuk,” katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 27 kes Varian Delta telah dikenal pasti menjangkiti rakyat Malaysia. – Malaysiapost
