KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes dalam Kluster Benteng LD di Lahad Datu, Sabah, dengan enam adalah kes baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif kluster tersebut kini 14 kes.
Katanya, siasatan lanjut kluster mendapati satu kes positif yang melibatkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah (iaitu kes ke-9,351 yang dilaporkan pada 1 September 2020) berkait rapat dengan kluster ini.
“Beliau mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes, di mana beliau didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9,344 dan kes ke-9,345).
“Enam kes baharu yang dilaporkan hari ini dikesan di Penjara Tawau. Empat daripadanya turut mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu serta mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.
“Mereka telah balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos, seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di Penjara Tawau. Kesemua kes positif baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 336 orang telah disaring yang mana Daripada 14 kes dikesan positif Covid-19, 123 individu negatif dan 199 individu masih menunggu keputusan.
Katanya, jumlah saringan dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 121 banduan, 83 kakitangan penjara dan 68 ahli keluarga kakitangan dan banduan, 61 anggota polis dan tiga pegawai agensi kerajaan yang lain.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat pertambahan kes bagi tiga kluster lagi iaitu Kluster Tawar, Bunga dan Telaga.
Menurutnya, terdapat tiga kes baharu bagi Kluster Tawar di Kedah, menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 78 kes.
“Terdapat dua kes baharu bagi Kluster Bunga di Negeri Sembilan, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini sebanyak enam kes.
“Kluster Telaga di Kedah pula mencatatkan satu kes baharu menjadikan tujuh kes positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya. -Malaysiapost

