‘Jangan ditipu PH, Warisan kali kedua’

0
2

KETUA Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi mengingatkan anak muda Sabah supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan mengundi pembangkang.

Beliau berkata, pada PRU14 lalu anak muda telah ditipu selama 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Walaupun senario politik di Sabah tidak sama dengan politik di Semenanjung tetapi secara asasnya, semua rakyat tidak kira di mana merasa penderitaan di bawah pentadbiran PH.

“Di Sabah, kerana mahukan perubahan yang lebih baik, rakyat Sabah cenderung memilih Warisan sehingga menyebabkan perbezaan tipis antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan… bila ada yang melompat maka kuasa bertukar tangan.

“Akhirnya di bawah Warisan pro PH, rakyat Sabah menderita bila pendatang tanpa izin lebih dijaga daripada rakyat tempatan.

“Jadi, mengundi Warisan juga bermakna mengundi PH,” katanya kepada Malaysiapost.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula pada 12 September manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 September.

Terdapat 1.12 juta pengundi dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari

” Anak muda, jangan lagi terpengaruh dengan janji bulan dan bintang kerana memang ianya sedap untuk didengar tetapi bukan untuk dilaksanakan.

“Saya pasti, PRN ini akan menyaksikan pelbagai janji manis akan mula dimainkan oleh mereka tetapi adakah kita rela untuk tertipu kali ke dua? Adakah kita masih mahu memberi peluang? Saya pasti, 22 bulan sudah cukup menyedarkan kita betapa bolosnya pentadbiran PH/Warisan,” katanya lagi.- Malaysiapost