KKMM sangkal dakwaan pelajar UMS panjat pokok jawab peperiksaan

0
2

DAKWAAN seorang seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah bagi mendapatkan capaian internet untuk menjalani peperiksaan dalam talian, adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, hasil siasatan mendapati Veveonah Mosibin yang juga seorang Youtuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

“Veveonah merupakan seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta pihak berwajib yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah, pada sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Kerajaan juga kini sedang berusaha meningkatkan taraf capaian internet 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus namun masih ada beberapa kawasan titik buta termasuk di bandar.

Baru-baru ini, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular di laman sosial apabila video pengalamannya memanjat pokok di kampung demi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian dimuat naik olehnya di YouTube mendapat perhatian ramai serta reaksi positif
warganet. -Malaysiapost