14 kes baharu positif Covid-19, tiada kematian

0
2

KES positif Covid-19 kembali menjadi dua angka, iaitu meningkat kepada 14 kes manakala tiada pertambahan kes kematian dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 9,374 kes.

“Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 163 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan dua warga Malaysia dan dua bukan warganegara.

Katanya, daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes dalam kalangan warganegara dan empat bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 kes,” katanya. – MalaysiaPost