POLIS sedang menyiasat dakwaan wujud penambahan slot janji temu vaksinasi Covid-19 yang tidak sepatutnya di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di ibu negara.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din susulan laporan polis dibuat seorang petugas di PPV berkenaan.
Katanya, pengadu mendakwa wujud lebihan penerima vaksin tersenarai dalam aplikasi MySejahtera, berbanding jumlah vaksin diperuntukkan di lokasi terbabit.
“Siasatan masih di peringkat awal dan polis dalam tindakan mengambil keterangan beberapa saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilaporkan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata jawatankuasa itu dianggotai wakil CITF, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada kerajaan selaras usaha memastikan PICK berjaya direalisasikan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan usaha untuk mensabotaj program sedang dilaksanakan sama ada untuk kepentingan individu mahupun sebaliknya.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu didapati ingkar,” katanya. – Malaysiapost

