MENTERI Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata ASEAN-Amerika Syarikat (AS) perlu memperkukuh kerjasama dalam usaha menangani isu keselamatan siber serta jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata, usaha memperkukuhkan kerjasama itu penting demi memastikan kestabilan dan keamanan khususnya di rantau ini terjamin.
“Di hadapan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, TYT Antony Blinken serta rakan-rakan sejawat di ASEAN, saya suarakan beberapa pandangan bagi pihak Malaysia dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat secara maya pagi ini.
“Malah, saya nyatakan amat perlu untuk kedua-dua pihak menjalin usahasama lebih erat dalam pembangunan digital,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Hishammuddin berucap pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-AS yang diadakan secara maya hari ini.
Dalam pada itu, Hishammudin berkata, beliau juga berpeluang menyentuh isu Palestin dan menyatakan pendirian Malaysia tidak berganjak untuk memberi sokongan terhadap negara Islam itu.
“Malah akan terus membantu terutama daripada sudut kemanusiaan serta pembangunan semula Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat keraja menyumbang satu juta dos vaksin Pfizer kepada Malaysia, baru-baru ini.
“Ini penting kerana hakikatnya seseorang akan selamat hanya apabila semua orang di seluruh dunia selamat dengan mendapat suntikan vaksin,” katanya.
Dalam pada itu, memetik laporan Bernama, ASEAN dan Amerika Syarikat perlu menumpukan usaha untuk memacu semula ekonomi dan memulihkan kerosakan disebabkan Covid-19.
Hishammuddin berkata, kedua-dua pihak mesti menggunakan peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi kerjasama, ketika ini dagangan dua hala AS dan negara ASEAN berjumlah lebih AS$260 bilion.
“Malaysia juga satu daripada lima pembekal import negara ASEAN untuk AS dengan nilai AS$39.4 bilion.
“Ia satu angka yang besar dan penting bagi kedua-dua pihak terus komited memelihara dan mengekalkan keterhubungan dan keterbukaan rantaian bekalan ini,” katanya.
Hishammuddin berkata, ASEAN-AS perlu menyedari hakikat bahawa jutaan nyawa bergantung kepada dagangan tanpa halangan dan kedua-dua pihak perlu bekerjasama erat untuk mengenal pasti serta mengatasi sebarang gangguan perdagangan, terutama yang merumitkan aliran keperluan.
Malaysia juga berharap AS menyokong usaha ASEAN menangani masalah kesihatan mental yang menjadi fokus utama dalam mengatasi kesan sosioekonomi akibat pandemik. – Malaysiapost

