Dakwaan Tun M satu penghinaan kepada pengundi Slim

0
3

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan parti itu memberi sogokan kepada pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, baru-baru ini.

Asyaraf berkata, ia bukan sahaja fitnah tetapi satu penghinaan kepada pengundi kawasan itu.

“Takkanlah maruah mereka hanya RM100?,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa berlaku banyak sogokan wang dalam PRK Dun Slim.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun Pejuang sudah meramalkan mereka akan kalah dalam PRK itu, namun tidak menjangkakan jumlah undi yang teruk.

“Pejuang hanya mampu memperoleh lebih 2,000 undi sedangkan berdasarkan jangkaan awal, Pejuang seharusnya mampu memperoleh lebih 4,000 undi.

“Kita punya kira-kira, kita patut dapat 4,000 undi, kita tak dapat angka itu. Setelah kita kaji dan kita dapati bahawa kegunaan wang sogokan amat berleluasa.

“Ramai orang yang kata ada bayaran yang mereka dapat. Ada yang dibawa dengan bas ke tempat pengundian, mereka dibayar duit atas bas, ada yang dibayar duit atas van.

“Kali pertama mungkin mereka dibayar RM100, setelah tunjuk mereka memilih BN, mereka akan dapat lagi baki RM150,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Dakwanya lagi, semua insiden itu menunjukkan berlakunya penipuan secara besar-besaran dalam pilihan raya itu.

“Tetapi kalau kita nak bagi cukup bukti kepada SPR, kalau mereka tak nampak betul-betul, tak terang-terang orang itu confess (mengaku) ke apa, mereka (SPR) tak ambil berat,” ujarnya. -MalaysiaPost