Tok Mat dilantik Pengarah Pilihan Raya Umno

0
2

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno berkuatkuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memegang jawatan itu sejak November 2020.

Perkara itu diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau kini turut menjalankan tugas sebagai Pengerusi War Room Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid berkata, senstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya Umno itu bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.

“Dengan kedudukan Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen.

“UMNO ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Tajuddin yang sebelum ini menggalas amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno,” katanya.

Pengumuman Ahmad Zahid itu berlaku hanya sehari selepas tular audio Tajuddin mengkritik Umno ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) minggu lalu.

Berdasarkan audio itu, Tajuddin mengingatkan kepimpinan parti berhati-hati memutuskan kedudukan dalam Perikatan Nasional (PN) supaya tidak tersilap membuat keputuan seperti sebelum ini.

Beliau mengingatkan keputusan dibuat kepimpinan parti termasuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengakibatkan kehancuran Umno.

Tajuddin juga berkata Umno telah banyak membuat kesilapan dan kini timbul pula cadangan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan beliau tidak menyokong perkara itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here