Tiada Adun Bersatu Johor cadang tarik sokongan – Osman

0
1

TIADA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu di Johor bercadang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu yang diterajui Umno.

Perkara itu dinyatakan Adun Kempas, Datuk Osman Sapian di sebalik laporan empat Adun daripada parti itu sedia menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Ia susulan Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh yang mengaitkan empat nama Adun Bersatu Johor susulan perkembangan politik di peringkat Pusat.

“Saya sudah bercakap dengan empat orang (Adun Bersatu) berkenaan dan mereka sendiri melahirkan rasa terkejut sedangkan mereka belum menyatakan pendirian.

“Mereka juga tidak memberi mandat kepada Che Zakaria untuk bercakap mengenai isu ini kerana ia sangat sensitif apatah lagi ia hanya menimbulkan suasana panas dan mencetuskan kekalutan politik.

“Jika betul perkara sebegitu berlaku (tarik sokongan) selalunya Adun Bersatu akan rujuk dan minta nasihat saya sebagai bekas Pengerusi Bersatu Johor, namun setakat ini tiada yang datang untuk bincang dan tanya pendapat berkaitan isu itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Semalam, media melaporkan empat Adun Bersatu Johor sedia menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN Johor jika Umno masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

Che Zakaria dilaporkan berkata, beliau yang juga seorang daripada ADUN berkenaan, sedia menarik sokongan pada bila-bila masa sekali gus akan mengakibatkan kerajaan PN Johor runtuh.

Mengulas lanjut, Osman tidak menolak kemungkinan isu berkenaan timbul berikutan hubungan renggang antara Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Adun Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here