PKRC MAEPS 2.0 dijadikan Hospital Bersepadu rawat Covid-19

0
2

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menambah peruntukan RM100 juta bagi Pelan Strategi Pengurusan Covid-19 di Lembah Klang membabitkan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penyumberluaran itu bermaksud hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Selangor dan Kuala Lumpur boleh memindahkan kes-kes bukan Covid-19 ke hospital swasta.

Menurutnya, antara strategi untuk menangani peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang adalah menambahbaik pengurusan pesakit di hospital, menambah dua hospital bertaraf Covid-19 sepenuhnya iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang.

Katanya, Hospital Ampang sudah bermula sebagai hospital perawatan Covid-19 pada 23 Jun lalu dengan mempunyai 577 katil.

“Hospital lain juga dijadikan hospital hibrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang kekal sebagai hospital bukan Covid-19.

“Penambahan kapasiti katil di hospital Lembah Klang juga dilakukan iaitu daripada 3,412 katil kepada 3,777 katil di Selangor, manakala daripada 7,95 katil kepada 1,129 katil di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan tiga hospital pengajaran perubatan iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajaran UPM bagi mengoptimumkan penggunaan katil juga dilaksanakan.

Menurutnya, keseluruhan katil bagi peralatan Covid-19 di Lembah Klang ketika ini melebihi kapasiti 5,000 katil.

“Skop Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 diperluas sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama dengan hospital kerajaan lain.

“Ini bagi memberikan perawatan pemulihan dan perawatan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan penambahan kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

“Pada masa ini terdapat 4,888 katil di PKRC MAEPS 2.0 bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor juga ditambah dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 katil.

“Kita telah menambah kapasiti perawatan di ICU hospital daripada 280 kepada 349 katil di Selangor, manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 90 kepada 117 katil.

“Jumlah bekalan okdigen di Selangor pada masa ini adalah 6,391 tangki dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 tangki iaitu 53 peratus,” katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC MAEPS 2.0 penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen dilakukan.

“Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga telah mengaktifkan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) yang dapat menyediakan sehingga 150 katil serta kapasiti ICU juga dipertingkat dengan penambahan 17 katil termasuk keperluan alat bantuan pernafasan menjadikan kapasiti ICU adalah 25 katil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here