Bayi berusia 38 minggu korban termuda akibat Covid-19

0
2

Nurul Huda Abhar

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan kali pertama menguruskan jenazah pesakit Covid-19 termuda iaitu jasad bayi lelaki berusia 38 minggu.

JAWI dalam hantaran di laman Facebook berkata, jenazah bayi lelaki itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Jalan Kuala Lumpur-Karak.

Katanya, ibu kepada jenazah bayi itu kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala bapanya sedang dikuarantin bersama lapan lagi anak di rumah.

“Ya Allah…sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.

“Difahamkan ibunya kini masih bertarung nyawa di ICU. Bapanya pula bersama lapan orang lagi anak sedang menjalani kuarantin di rumah. Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga.

“InsyaAllah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” tulis hantaran itu.

Semalam, sebanyak 102 kematian baharu akibat Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan angka kematian kini meningkat kepada 6,260.

Terkini, jumlah kes harian baharu Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi sejak wabak berkenaan melanda negara dengan merekodkan 11,079 kes hari ini.

Berdasarkan data dan infografik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, kes tertinggi adalah di Selangor yang kini melebihi 5,000 kes dengan mencatatkan 5,263 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here