Tolonglah YB, ini harapan rakyat – Pemuda Umno

0
2

SELEPAS menyampaikan suara dan tuntutan rakyat yang terkesan akibat Covid-19 kepada Timbalan Perdana Menteri, Pemuda Umno berpeluang menyampaikan perkara sama kepada Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, pula hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dalam pertemuan lebih sejam bersama Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan itu, beliau menerangkan sendiri satu persatu 10 tuntutan rakyat yang utama.

Menurutnya, ia termasuk penambahbaikan pakej bantuan i-Citra, moratarium, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diperoleh hasil maklum balas ribuan rakyat.

“Ia yang kami Pemuda Umno rumuskan hasil maklum balas ribuan komentar dan mesej-mesej peribadi yang kami terima termasuk Hotline Pemuda Umno.

“Ini merupakan pertemuan kedua selepas ikhtiar kami membawa suara rakyat ini kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, sebelum beredar beliau sekali lagi memohon agar tuntutan itu dipenuhi demi kepentingan rakyat.

“Tolonglah YB, ini harapan rakyat teramai di bawah yang memang amat susah, terdesak dan tertekan ketika ini,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan 10 tuntutan rakyat berkenaan iaitu menyegerakan Bantuan Khas Covic (BKC); luluskan kedua-dua kategori penerima BPR/BKC dan penerima Geran Khas Prihatin (GKP); permudahkan proses rayuan tanpa karenah birokrasi; dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40.

“Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutama untuk M40; menambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum; membenarkan akses kepada Akaun 1 KUmpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Benarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen seperti hutang; menyelaraskan kaedah penawaran moratorium tanpa mengenakan faedah terakru; dan akhir sekali bantuan khas kecemasan untuk peniaga kecil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here